Titah baginda, hartanah yang siap dibina ini kemudiannya dijual pada harga di luar kemampuan majoriti penduduk tempatan.

Baginda bertitah, dalam hal ini ke­perluan perumahan rakyat harus menjadi salah satu isu penting yang amat wajib diberikan perhatian oleh pihak kerajaan lebih-lebih lagi oleh pihak pemaju.

“Anggap lebih berminat membina rumah harga mahal untuk mengaut keuntungan besar.
“Maka timbulnya istilah ‘rumah mampu lihat dan bukan mampu milik’. Masalah ini semakin disuarakan oleh rakyat berpendapatan rendah lebih-le­bih lagi dalam kalangan orang Melayu dan bumiputera,” titah baginda dalam majlis pengisytiharan Daerah Muallim di sini sebagai daerah baharu di negeri ini.

Yang turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah dan Raja Di-Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Selain itu, titah Sultan Nazrin, pemaju kelihatan lebih berminat membangunkan rumah dengan harga mahal untuk dijual kepada bukan warganegara dan aktif melakukan promosi jualan dalam kalangan hartawan di luar negara.
Sultan Nazrin mengingatkan bahawa kepentingan perniagaan jangan sampai ke peringkat mengakibatkan warga kehilangan hak di buminya sendiri.

Malah, titah baginda, nasib rakyat jangan berakhir dengan menerima nasib seperti ‘ayam kelaparan di kepuk, itik kehausan di air disebabkan perbuatan dagang lalu ditanakkan’.

“Bumi dan negeri ini wajiblah me­ngutamakan warganya sendiri. Negara wajib berhati-hati dan meletakkan kepentingan jangka panjang untuk melindungi daripada berlakunya sekali lagi penjajahan di bumi merdeka ini melalui instrumen pemilikan hartanah.

“Pada akhirnya pribumi merintis sendiri kerana bumi dipijak milik orang,” titah baginda.