Thursday, 13 July 2017

AHLI SUNNAH WAL JAMAAH  KUMPULAN YANG TERSELAMAT DARIPADA PERPECAHAN UMAT DAN GOLONGAN YANG SESAT

Pendahuluan

Sebagai reaksi dari firqah-firqah yang sesat, maka pada akhir abad ke- 3 Hijrah  timbullah golongan yang dikenali sebagai Ahli Sunnah wal Jamaah yang dipimpin oleh dua orang ulama besar dalam Usuluddin iaitu Imam Abu Hassan Ali Al Asy’ari dan Imam Abu Mansur Al Maturidi. Perkataan Ahli Sunnah wal Jamaah kadang-kadang disebut sebagai Ahli Sunnah saja atau Sunni saja dan kadang-kadang disebut Asy’ari atau Asya’irah dikaitkan dengan ulama besarnya yang pertama iaitu Abu Hassan Ali Asy’ari. (Fahrul Abas, 2015: 2)

Aliran Al-Maturidiyah adalah sebuh  aliran yang  tidak   jauh   berbeza dengan aliran al-Asy'ariyah. Keduanya lahir sebagai bentuk pembelaan terhadap sunnah.  Aliran  al-Asy'ariyah  berkembang di Basrah  manakala aliran  al-Maturidiyah berkembang di Samarkand.

Kota   tempat   aliran   ini   lahir   merupakan   salah   satu   kawasan   peradaban yang maju yang menjadi pusat perkembangan Mu'tazilah disamping ditemukannya aliran Mujassimah, Qaramithah dan Jahmiyah, pegangam majority akidah pada saat   itu   adalah  daripada aliran  Mu'tazilah  yang banyak   menyerang   golongan ahli fiqih dan ahli hadits. Aliran Mu’tazilah menjadi  kukuh pada masa itu kerana ia juga dianuti oleh para pemimpin dan penguasa.

Asy'ari maupun Maturidi bukan tidak faham terhadap mazhab Mu'tazilah, bahkan  al-Asy'ary pada awalnya adalah seorang Mu'tazilah namun terdorong oleh keinginan mempertahankan sunnah maka lahirlah  ajaran mereka hingga kemudian keduanya diberi gelar imam ahlussunnah wal  jama'ah.

Pengertian Ahli Sunnah Wal Jamaah

Ditinjau dari ilmu bahasa (lughah/etimologi), Ahli Sunnah waal Jama’ah berasal dari kata-kata:

a.                   Ahl (Ahlun), berarti “golongan” atau “pengikut”

b.                  Assunnah berarti “tabiat, perilaku, jalan hidup, perbuatan yang mencakup ucapan  dan tindakan Rasulullah s.a.w”

c.                   Wa, huruf ‘athf yang berarti “dan” atau “serta”

d.                  Al jama’ah  berarti jama’ah, yakni jama’ah para sahabat Rasulullah S.A.W. Maksudnya ialah perilaku atau jalan hidup para sahabat. (Fahrul Abas, 2015: 8)

Secara etimologis, istilah “Ahli Sunnah Wal Jamaah” bererrti golongan yang sentiasa mengikuti jejak hidup Rasulullah s.a.w dan jalan hidup para sahabat baginda dan juga golongan yang berpegang teguh pada sunnah Rasul dan Sunnah para sahabat, lebih khusus lagi, sahabat yang empat, iaitu Abu Bakar As-Siddiq, Umar bin Khattab,  Uthman bin ‘Affan,  dan Ali bin Abi Thalib.

Kata "Ahlus-Sunnah" mempunyai dua makna. Pertama, mengikuti sunah-sunah dan atsar-atsar yang datangnya dari Rasulullah shallallu 'alaihi wa sallam dan para shahabat radhiyallahu 'anhum, menekuninya, memisahkan yang shahih dari yang cacat dan melaksanakan apa yang diwajibkan dari perkataan dan perbuatan dalam masalah aqidah dan hukum.

Kedua, lebih khusus dari makna pertama, yaitu yang dijelaskan oleh sebagian ulama di mana mereka menamakan kitab mereka dengan nama As-Sunnah, seperti Abu Ashim, Al-Imam Ahmad bin Hanbal, Al-Imam Abdullah bin Ahmad bin Hanbal, Al-Khalal dan lain-lain. Mereka maksudkan (As-Sunnah) itu i'tiqad shahih yang ditetapkan dengan nash dan ijma'.

Mazhab Ahlus Sunnah itu lanjutan daripada apa yang pernah dilakukan Rasulullah s.a.w dan para shahabat radhiyallahu 'anhum.  Adapun penamaan Ahli Sunnah adalah sesudah terjadinya fitnah ketika awal kemunculan firqah-firqah sebelum ia dibersihkan dan dibanteras oleh Imam Abu Hassan al-Asyaari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi.

Perpecahan Umat Islam Dalam Kitab al-Farqu Bayn al-Firaq

Kitab al-Farqu bayn al-Firaq merupakan sebuah kitab yang masyhur dalam bidang usuluddin dan teologi. Kitab ini ditulis oleh seorang ulama besar dari Baghdad iaitu al-Alim al-Allamah Abu Mansur Abd al-Qahir bin Thahir bin Muhammad Al-Baghdadi at-Tamimi al-Isfarayni  yang akrab dengan sebutan Imam al-Baghdadi, seorang ulama yang pakar dalam ilmu usul, nahwu, fiqh, sastera, sejarah dan ilmu hisab. Beliau meninggal dunia pada tahun 429 H / 1037 M di Isfaraiyin. Antara kitab karangan beliau yang terkenal dan menjadi rujukan penuntut ilmu sehingga ke hari ini iala kitab al-Farqu bayn al-Firaq dan kitab al-Milal wa an-Nihal.

Kitab al-Farqu bayn al-Firaq adalah sebuah kitab yang menjelaskan tentang perpecahan kelompok-kelompok dalam umat Islam dan golongan yang selamat iaitu golongan Ahli Sunnah wal Jamaah. Kitab ini lahir sebagai untuk menjelaskan tenang hadis yang diriwayatkan dari Raslullah s.aw. (Uthman al-Khashth, 2010: 24-25)

Nabi Muhammad sallallahu`alaihi wasallam bersabda:

إِنَّ بَنِي إِسْرَائِيْلَ تَفَرَّقَتْ عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِيْنَ مِلَّةً وَتَفْتَرِقُ أُمَّتِيْ عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِيْنَ مِلَّةً كُلُّهُمْ فِي النَّارِ إِلَّا مِلَّةً وَاحِدَةً  قَالُوْا وَمَنْ هِيَ يَا رَسُوْلَ اللهِ؟ قَالَ: مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِيْ"

                                                                                                    
“Bahawasanya Bani Israil [Yahudi] berpecah kepada 72 golongan, dan umatku pula berpecah kepada 73 golongan, semuanya masuk neraka kecuali satu golongan, sahabat-sahabat bertanya: Siapakah yang satu itu ya Rasulallah? Nabi bersabda: Golongan yang satu itu adalah mereka yang berpegang sebagaimana iktiqadku, dan iktiqad sahabat-sabahatku”.
                                                                      (Hadis Riwayat Tirmizi)

Dalam kitab ini Imam Abu Mansur al-Baghdadi menulis dalam lima bab yang diperincikan dengan tajuk dan penerangan-penerangan yang tertentu. Bab pertama, beliau menjelaskan tentang hadiss perpecahan umat Islam yang menjadi tujuh puluh tiga pecahan. Bab Kedua, menjelaskan secara umum mengenai puak-puak dalam  umat Islam dan puak-puak  yang bukan termasuk Islam. Bab ketiga, beliau menjelaskan tentang pandangan sesat setiap golongan tersebut.  Bab keempat, beliau menjelaskan golongan yang mempunyai kaitan dengan agama Islam tetapi bukan dari kalangan golongan Islam. Bab kelima, beliau menjelaskan tentang golongan yang selamat iaitu ahli sunnah wal jamaah.

Bab pertama, Imam al-Baghdadi menghuraikan sanad hadis tentang perpecahan umat Islam. Menurut penelitian beliau, ramai sahabat yang meriwayatkan hadits tersebut dari  Rasulullah S.A.W. Di antaranya ialah Anas bin Malik, Abu Hurairah, Abu Darda, Jabir, Abu Sa’id al-Khudri, Ubay bin Ka’b, Abdullan bin Amr bin al-Ash, Abu Umamah, dan Watsilah bin al-Asyfa’. Sedangkan generasi setelah sahabat ramai yang meriwayatkan hadiss tersebut dari para sahabat. (Uthman al-Khashth, 2010: 25)

Imam al-Baghdadi menyatakan bahwa perpecahan yang dimaksud dalam hadis Nabi tesebut adalah perpecahan dalam arti perbezaan mengenai usuluddin (akidah) bukan perbezaan dalam masalah cabang-cabang fiqh. Sebab, menurutnya, para fuqaha` meskipun berselisih dalam soal furu’ tetapi mereka bersepakat dalam hal yang bersangkutan usuluddin. [H. 17].

Beliau berpandangan bahwa perbezaan pendapat para fuqaha` dalam soal furu’ tidak menjuruskan penyesatan sesame mereka, meskipun mereka berselisih dalam berpendapat. Namun begitu dalam soal usuluddin mereka bersepakat.

Bab kedua, Imam al-Baghdadi membahaskan tentang bagaimana terjadinya perpecahan umat Islam sehingga mencapai tujuh puluh tiga pecahan/golongan. Menurut Imam al-Baghdadi, peristiwa awal yang menimbulkan perselisihan antara umat Islam adalah kematian Nabi s.a.w. Sebahagian beranganggan bahawa Nabi tidaklah wafat, baginda hanya dianggkat Allah s.w.t ke langit sebagaimana yang terjadi pada Nabi Isa a.s. Sebahagian lagi mengatakan bahwa Nabi s.a.w telah wafat.

Perselisihan ini kemudian dapat diselesaikan oleh Abu Bakar r.a dengan kata-kata neliau: “man kana ya’budu muhammadan fa inna muhammadan qad mata,  wa man kana ya’budu rabba muhammad fa innahu hayyun la yamut” (Barang siapa yang menyembah Muhammad maka sesungguhnya ia telah wafat, dan barang siapa yang menyembah Tuhan Muhammad maka sesungguhnya Ia adalah Dzat Yang Maha Hidup dan tidak akan pernah mati). (Uthman al-Khashth, 2010: 32)

Dalam bab ketiga, Imam al-Baghdadi menghuraikan pandangan atau keyakinan pelbagai golongan yang sesat dan menjelaskan tentang kekeliruan pandangan mereka. Di antaranya adalah pandangan golongan  Rafidhah, Khawarij, Mu’tazilah, Qadariyah, Murji`ah, Najjariyyah, dan lainnya. Pada bahagian ini al-Baghdadi menjelaskan cir-ciri pegangani gologan tersebut secara ringkas dan padat sehingga memudahkan kepada para pembaca untuk mengkajinya. 

Pada penulisan artikel ini, penulis tidak berhajat menjelaskan dengan detail tentang pegangan dan pemikiran mereka yang dikritik dan ditolak oleh ulama ahli sunnah wal jamaah dan juga bilangan firqah-firqah mereka kerana tujuan artikel ini ditulis adalah untuk menerangkan secara khusus dan ringkas sahaja tentang ahli sunnah wal jamaah dan golongan-golonga yang menyeleweng daripadanya. InsyaAllah akan diterangkan pada artikel yang akan datang

Bab keempat, al-Baghdadi menjelaskan tentang golongan yang dikaitkan dengan Islam tetapi pada hakikatnyanya bukan termasuk dari golongan  Islam. Dalam bahagian ini al-Baghdadi menghuraikan kembali perbezaan para teologi Islam (mutakallimin) mengenai siapa yang disebut dan dikategorikan sebagai umat Islam.

Salah satu golongan yang dianggap terkait kepada Islam tetapi sebenarnya bukan dari ajaran Islam adalah Saba`iyyah, iaitu pengikut Abdullah bin Saba’ yang memposisikan Sayyidina Ali r.a.dengan sangat berlebihan sehingga ia dianggap sebagai nabi. Bahkan sikap Abdullah bin Saba tidak berhenti sampai di situ sahaja, tetapi diia malah semakin jauh mensucikan Sayyidina  Ali r.a dengan menganggapnya sebagai Tuhan.

Ahli Sunnah Wal Jamaah Kumpulan Yang Terselamat

Bab kelima, Imam al-Baghdadi menghuraikan tentang golongan yang berjaya dan selamat, iaitu golongan ahli sunnah wa al-jama’ah serta dasar-dasar pegangan mereka. Beliau membahagikan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam dalam kitabnya (al-Farqu Bayna al-Firaq) kepada beberapa bahagian mengikut disiplin ilmu dalam epistemologi Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti: Ilmu al-Kalam atau Usul al-Din, ilmu Tafsir Quran dan Qiraat, Ilmu Hadith  dan  cawangan-cawangannya, Ilmu  Fiqh  dan  ahli- ahlinya (termasuk usul al-fiqhnya), ilmu sastera dan nahu sarafnya, ilmu lughahnya, ilmu tasawwuf  dan para ahlinya. Termasuk ke dalam golongan mereka itu orang awam yang mengikut panduan ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah dan juga mereka yang menjaga sempadan negeri-negeri Ahli Sunnah Wal Jamaah. (Uthman el-Muhammady, 2011: 10-11). Berikut merupakan lapan dasar golongan ahli sunnah wal jamaah yang terperinci mengikut Imam al-Baghdadi iaitu:-

        i.  Golongan yang menguasai tauhid dan kenabian, dengan kata lain al-Mutakkalimin. terlepas dari ideologi tasybiih (menyamakan Allah dengan makhluknya) dan ta'thiil (menafikan sifat-sifat bagi Allah).

                 Golongan ahl fiqh dari ahlu ra'yi (logika) dan ahl hadis. Ahl ra'yi (logik) berpusat di Iraq yang diketuai oleh Imam Abu Hanifah sedangkan ahl hadis berpusat di Madinah yang dikemudi Imam Malik. Mereka menetapkan ru'yah al-Allah (melihat Allah), adanya sirat (jambatan lebih kecil dari pada rambut dan lebih tajam dari pada pisau), syafa'at, dan bahwasanya Allahs.W.T mengampuni semua dosa selain syirik (sekutu) dan seterusnya.

    iii.        Golongan yang menguasai hadis baginda Rasulullah S.A.W, dimana dapat  membezakan yang sahih dan dhaif, dan mengetahui sebab-sebab jarh wa ta'dil (kaedah saringan untuk mengukur  kredibiliti seseorang perawi hadis).

    iv.            Golongan yang menguasai tentang ilmu adab, nahwu, tasriif iaitu ahlu Lughah, seperti al-Kholiel, Sibawaihi, Akhfash. Semua ahli nahwu dari golongan Kufah  ataupun Basrah.

      v.      Golongan yang menguasai ilmu wujuhi qira'ati al-Qur'an, Tafsir al-qur'an dan ta'wilnya yang sejalan atau sesuai dengan ahlusunnah wa al-Jama'ah.

    vi.    Golongan ahli zuhud dan sufi, yang mereka redha terhadap ketentuan Allah dan menyedari bahwa mata, telinga dan hati semua akan dipertanggung jawabkan, tidak melakukan kebaikan kerana riya’ (ingin dilihat atau disanjung orang lain) dan seterusnya.

  vii.            Golongan mujahidin yang melindungi umat Islam dan berjuang demi menegakkan agama Islam.

viii.      Daerah-daerah yang mana syiar ahlusunnah wal jama'ah lebih menyerlah daripada ahl dhalal wa ahwaa' (golongan menyimpang dan mendahulukan nafsunya).

Kelapan-lapan golongan inilah yang disebut oleh Imam al-Baghdadi sebagai "Firqah an-Najiyah" iaitu golongan yang selamat dari api neraka.

Kesimpulan

Perpecahan umat Islam kepada 73 golongan adalah perkara yang telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. Perpecahan telahpun berlaku dan akan berlaku sehingga ke hari kiamat. Walaupun dalam kitab al-farqu bayn al-firaq, ia menceritakan firqah-firqah ang terdahulu, tidak bermakna di zaman ini tidak ada lagi firqah yang batil dan sesat. Sebenarnya firqah-firqah yang sesat pada hari ini timbul adalah kesinambungan dan kitar semula daripada firqah-firqah terdahulu.

Golongan liberal yang dikenali hari ini adalah merupakan jelmaan semuala golongan Muktazilah yang meletakkan kedudukan akal melebihi nas-nas syarak. Golongan liberal ini mengacuankan kembali pemikiran Muktazilah hari ini dalam kerangka modernisme. Ini termasuk dalam usaha puak liberalism ini ingin menilai semula teks-teks al-quran dan hadis dengan menggunakan akal semata dan menafsirkan mengikut hawa nafsu mereka. Mereka juga berkinginan untuk menggugurkan hukum-hukum dalam al-quran dan hadis yang dikira tidak sesuai lagi diikuti pada masa kini. Termasuk dalam kelompok liberal ini ialah Sekularisme, LGBT dan sebagainya.

Begitu juga, kini golongan Rafidhah tidak dikenali sebagai Rafidhah tetapi dikenali sebagai Syiah, walaupun namanya bukan lagi Rafidhah tetapi fikrahnya berkembang sehingga ke hari ini yang dibawa oleh golongan Syiah. Golongan mujassimah dan musyabbihah juga masih wujud sehingga ke hari ini, iaitu golongan yang menjisimkan Allah dan mentasybihkan (menyamakan) Allah dengan makhluk. Mereka ini semua tidak dapat dikenali oleh orang awam kecuali bagi orang yang benar-benar mempelajari ilmu akidah dan mengikuti jalan Rasulullah S.A.W dan para sahabat baginda.

Justeru, marilah kita semua sebagai umat Islam mempelajari ilmu akidah dan mengukuhkan i’tikad kita agar ia dapat menjadi benteng kepada kita dalam menangkis segala macam bentuk ideologi, pemikiran dan falsafah yang menyimpang dari agama Islam kerana kesannya amat besar iaitu boleh menyebabkan seseorang itu jatuh ke lembah kekafiran dan juga mensyirikkan Allah S.W.T. Wallahu a’lam.

______________________________________________________________________

Bibliografi

Fahrul Abas. 2015. Ahlus Sunnah Wal Jamaah al-Asy’ariyah & Al-Maturidiyah. Universitas               Sains Al-Qur’an Jawa Tengah Di Wonosobo

Muhammad Uthman al-Khashth. 2010. Salinan Semula al-Farqu Bayna al-Firaq wa Bayanu al-          Firqati an-Najiyati Minhum. Maktabah Ibnu Sina, Kaherah, Mesir

Muhammad Uthman el-Muhammady.2011. Ahli Sunnah Wal Jamaah Penyerapan Unsur-Unsur    Akidah Yang Mengelirukan Dalam Masyarakat Islam Di Malaysia. Majlis Agama Islam   Negeri Johor